Selasa, 8 Januari 2013

:: Hukum Berikhtilat Mengikut Pandangan Ulama ::

Views

Assalamualaikum sahabat semua.. Sihat ke? Moga sihat atas izin-Nya.. InsyaAllah.. Harinie ana nak kongsi tentang ikhtilat.. Ana ambik dari saudara : Muhammad Fathullah #Sekadar berkongsi untuk tambahkan ilmu yang kita sedia ada ^_^


“Ustaz, apakah hukum berikhtilat di antara lelaki dan perempuan” tanya seseorang.

Saya tidak terus menjawab, saya bertanya pula. “Apa yang kamu faham mengenai masalah ikhtilat”.

Dia menjawab. “Err, berkawan di antara lelaki dan perempuan”.

Tambahnya lagi. “Saya ada baca di blog-blog dan di artikel-artikel, terlalu banyak hal yang mengelirukan, ada yang kata haram terus, ada yang kata boleh”.

Saya menjawab. “Insyaallah saya akan terangkan masalah hukum tersebut, jadi selepas ini kamu perlu berhati-hati ketika mengambil hukum atau kefahaman islam melalui wasilah itu, boleh tanya kepada orang yang lebih ahli mengenai sesuatu bab atau membaca artikel2 mereka di samping memperbanyakkan bacaan bahan agama”.

Baru-baru ini saya telah ditanya mengenai masalah ikhtilat di antara lelaki dan perempuan berdasarkan syariat islam. Ikhtilat mempunyai makna yang sangat luas iaitu umum, membawa maksud pencampuran lelaki dan perempuan, contohnya seperti belajar di dalam kelas, perempuan berada di belakang, manakala lelaki berada di hadapan, atau pun contoh lain ketika berada di dalam masjid, solat berjemaah bersama-sama, atau pun bekerja sama dalam sesuatu organisasi atau persatuan, semua itu dikategorikan sebagai ikhtilat. Saya hanya hendak khusus kan di sini ialah ikhtilat dalam konteks berkawan. Adakah ia dibenarkan atau pun sebaliknya?

Dalam hal ini, saya tidaklah terus terburu-buru untuk menjawab soalannya, bahkan saya rasa bertanggungjawab untuk bertanya terlebih dahulu kepada Dr2 yang lebih pakar mengenai hal ini, untuk mencari kepastian, supaya lebih yakin dan selamat.

Saya juga telah mencari fatwa2 ulama Mu’assirin(kontemporari) mengenai masalah ini, ada yang mengatakan ianya haram dan ada juga mengatakan ianya harus. Ada ulama’ yang memfatwakan bahawa hukum ikhtilat haram secara mutlak kecuali jika ada niat dan azam untuk menikahinya, iaitu bertunang. Bagi saya, pendapat ini terlalu syadid dan tidak menepati kaedah syara’ dan usul.

Ada juga ulama’ yang mengharuskan ikhtilat di antara lelaki dan perempuan tetapi berdasarkan syarat-syaratnya, antara ulama’ yang mengharuskan ikhtilat ialah Syeikh Allamah Dr Yusof Al-Qordhawi, dan saya amat bersetuju dengan pendapat beliau dalam hal ini berdasarkan kaedah Usul dan kaedah-kaedah fiqhiyyah.

Pemilihan ini tidaklah berdasarkan ilmu cetek yang ada pada saya sahaja, bahkan baru-baru ini saya telah meminta pendapat dari Dr Jamiah Universiti Yarmouk sendiri, fatwa manakah yang lebih menepati kaedah Syara’, maka Dr mencadangkan agar saya mengambil fatwa Dr Yusof Al-Qordhawi mengenai perkara ini sambil memujinya dengan pujian yang sangat layak kepada ilmuan dan mujtahid sepertinya.

Kadang-kadang saya sedih dengan sesetengah blogger-blogger yang tidak jujur dengan ilmu islam, mereka menulis hanya mengikut pendapat peribadi mereka tanpa menguasai perkara usul di dalam agama. Berlebih-lebihan dalam meletakkan hukum, itu haram dan ini haram sampai membawa fitnah kepada agama, padahal agama islam sangat bertoleransi dengan perkara ini. Ada juga yang mengambil kaedah (Sadduz Zari’ah) dengan cara yang melampau dan tidak adil sampai menutup pintu-pintu itu dengan begitu rapat sekali.

Mungkin niat mereka baik, tetapi jika tidak faham dengan kaedah yang sebenar, ia meletakkan umat islam agar lebih jauh dan jauh daripada hakikat kefahaman islam yang sebenar akibat pendapat yang tidak menepati kaedah Syara’. Berapa banyak artikel yang ada tidak menepati kaedah ilmu. Jika hendak menulis mengenai bab yang melibatkan islam dan hukumnya tidak salah, bahkan ianya sangat digalakkan, tetapi hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang lebih pakar mengenai sesuatu bab yang ingin dibincangkan. Saya sendiri pun tidak terlepas dari bertanya kepada mereka yang lebih pakar, walaupun saya sendiri dari pengajian sarjana muda syariah.

Agama islam adalah agama yang amat bertoleransi, jika kita hendak mengira perkara yang haram di dalam islam, mungkin tidak sampai beberapa jam, tetapi jika hendak mengira perkara yang halal di dalam islam, ianya begitu banyak, mungkin memakan masa sampai sehari atau lebih. Kadang-kadang ada orang yang baru hendak berjinak dengan islam atau pun yang baru hendak faham mengenai islam, mereka menganggap bahawa agama islam terlalu kolot, terlalu menekan dan mengongkong. Ini adalah salah fahaman yang sangat melampau terhadap agama islam. Islam adalah agama yang bersifat fitrah, peraturannya berdasarkan kejadian fitrah manusia.

Kita masuk balik kepada masalah yang hendak dibincangkan pada penulisan kali ini, kaedah telah menetapkan bahawa hukum asal bermu’amalah di antara manusia adalah harus kecuali ada nas-nas dari Al-quran atau Hadis yang mengharamkannya seperti riba, zina, mengumpat dan lain-lain, manakala hukum asal bagi semua jenis ibadat ialah haram, kecuali ada nas-nas dari Al-quran atau hadis yang membenarkannya seperti solat, puasa, pergi haji, zakat dan lain-lain. Berdasarkan kaedah ini, banyak ulama’ yang memfatwakan bahawa hukum ikhtilat adalah harus berserta dengan syarat-syaratnya. Di sini, saya hanya bagi satu contoh kaedah usul, sebenarnya masih ada banyak lagi kaedah yang ada di dalam ilmu usul, maka ia perlu di dalami dengan bersungguh-sungguh. Bukan mengambil bulat-bulat daripada kaedah ini, saya hanya bagi contoh sahaja supaya lebih nampak dan jelas tentang apa yang saya ingin perkatakan mengenai tajuk ini.


Ini ialah petikan ringkas fatwa Dr Yusof Al-Qordhawi

Pendapat ulama yang memfatwakan haram itu termasuk pendapat yang keras yang tidak berpijak kepada nas. Ia banyak menzalimi wanita dengan pelbagai fatwa yang keras dan ketat sehingga wanita terpenjara di rumah-rumah mereka.

Ada juga di sana pendapat kaum Liberal (Women’s lib) yang berlawanan dengan golongan fatwa yang mengharamkan itu, iaitu menyeru agar wanita meninggalkan syariat dan lepas bebas seperti kaum wanita di barat.

Pokoknya, kedua-dua golongan ini; golongan pertama, mereka yang terlalu mengongkong wanita, memenjara dan seakan menzalimi kaum wanita. Manakala golongan kedua pula, liberalis yang membebaskan wanita semaksimumnya dan menyebabkan berlakunya keruntuhan moral yang amat dahsyat sehingga tidak dapat dikawal lagi.

Islam merupakan agama yang sempurna dan tidak membebankan. Wanita sejak zaman permulaan islam tidak lepas bebas dan tidak pula hanya terpenjara di rumah sahaja. Bahkan mereka aktif keluar bersama kaum lelaki (dalam suasana terkawal saya ingin tegaskan) contohnya, pergi ke masjid untuk solat berjemaah, mencari ilmu, menolong jiran tetangga dan sebagainya.

Wanita juga keluar melakukan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar, menghadiri majlis ilmu, menyertai perang jihad, mencari rezeki atau berkerjaya, berpolitik, mendapatkan hiburan yang baik, menghadiri perayaan dan menyertai jemaah atau kumpulan yang membawa manfaat seperti Ikram atau Isma contohnya. Inilah maksud firman Allah swt:

“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan itu, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain, mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran.” (At-tubah ayat 71)

Dalam konteks ini, tiada halangan lelaki dan perempuan ajnabi berkawan serta liqa’ atau pertemuan untuk bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan, seperti menuntut ilmu, menjalankan program-program kebajikan dan jihad.

Perincian Dr Abdul Halim Abu Syuqqah (sahabat kepada Dr Yusof Al-Qordhawi)
1.    Pertemuan dan kerjasama itu hendaklah dalam suasana serius.
2.    Menahan pandangan.
3.    Menghindari berjabat tangan.
4.    Mengenakan pakaian yang menepati kaedah Syara’. (Sungguh! Saya sangat benci melihat wanita islam yang berpakaian ketat dan bertudung singkat)
5.    Tidak bersesakan dan lebih elok jika ada jarak pemisahan.
6.     Menghindari khulwah (berdua-duaan di tempat yang sunyi), namun boleh jika:
a)     Khulwah di kawasan awam yang ada ramai orang.
b)     Beberapa lelaki dan seorang perempuan.
c)      Seorang lelaki dan beberapa orang perempuan.
7.      Tidak terlalu lama dan berulang.
8.      Menghindari tempat yang mencurigakan.
9.      Menjauhi perbuatan maksiat dan dosa.

        ~ Dr Abdul Halim Abu Syuqqah meninggal pada tahun 1995. Beliau adalah sahabat karib Dr Yusof Al-Qordhawi di Universiti Qatar.

        Kesimpulan
        Pada pandangan saya, mengapa gejala sosial semakin melampau adalah disebabkan etika-etika ikhtilat tidak diletakkan pada tempat yang betul. Maka, kejahilan atau salah faham ini akan menyebabkan mereka salah dalam berikhtilat sehingga membawa kepada kemungkaran dan laknat Allah swt. Ikhtilat adalah perkara fitrah, ia memang perkara yang tidak boleh dielakkan kerana manusia hidup di dunia ini saling bantu-membantu antara satu sama lain. Jadi, ia memerlukan etika yang betul supaya manusia tidak jatuh kepada jurang kebinasaan.
        Di sini, saya tidaklah berlapang dalam memberi hukum harus dalam berikhtilat, ia juga boleh jatuh hukum haram jika tidak mengikut syarat-syaratnya.
        Ikhtilat dalam berkawan tidaklah sama dengan ikhtilat ketika bertunang, insya-Allah saya akan jelaskan pada tajuk khusus untuk penulisan yang akan datang.

        * Harap apa yang ana kongsikan ini berguna kepada sahabat2 semua ya.. Amin Ya RABB :)

        Thanks for reading,Comment ^^

         
        Template Edited By Nur Afiqah ♥ All Rights Reserved ©